Ahlan Bikum

selamat datang ke blog ini...

Sabtu, 8 Disember 2012

Kepimpinan Ulamak Menurut Perspektif Islam

Oleh: Ustaz Azhar bin Yahya, Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat)

Hukum asal untuk melantik pemimpin dalam Islam adalah alim dalam ilmu syarak, mengetahui dan mampu mengeluarkan hukum sehingga ke tahap ijtihad. Khulafa' ar-Rasyidin adalah mereka yang alim dan mampu berijtihad. Bahkan para Nabi dan Rasul yang memimpin manusia adalah alim dalam selok belok agama. Oleh kerana itu, para fuqaha' bersepakat bahawa kemampuan berijtihad dan mengeluarkan hukum adalah menjadi syarat untuk dilantik menjadi pemimpin. Mereka tidak menerima untuk dibuang syarat ini kecuali dalam keadaan dhorurat (Lihat Dr. Qaradhawi, Min Fiqhi ad-Daulah, 1997).

Justeru, Para Ulamak mampu memenuhi syarat tersebut kerana kemampuan mereka merujuk al-Quran dan as-Sunnah. Kepimpinan Ulamak bukan pengaruh Syiah sebagaimana yang diamalkan di negara Iran hari ini, tetapi ia bersumberkan kepada hukum yang dikeluarkan oleh para Fuqaha' Islam.

Melantik pemimpin di kalangan Ulamak adalah sangat penting kerana sesetengah isu kadang-kadang perlu diselesaikan dan dibuat keputusan dengan segera tanpa sempat diadakan perbincangan dan mesyuarat. Golongan Ulamak dapat memenuhi tuntutan tersebut kerana mampu membuat keputusan berlandaskan Islam. Mereka mampu untuk menangani permasalahan rakyat dan isu semasa bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Pemimpin ibarat penyuluh untuk rakyat melalui jalan kebenaran. Jalan kebenaran tersebut pastinya adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Golongan yang paling layak untuk menjadi penyuluh jalan kebenaran ini adalah para Ulamak yang mewarisi amanah ilmu daripada para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan tugas tersebut.

Syarat yang ditetapkan ini tidak bermakna para Ulamak meminta agar mereka dihormati dan dilantik menjadi pemimpin. Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan beberapa orang sahabat yang lain bergegas ke Thaqifah Bani Saadah bukanlah untuk meminta agar mereka dilantik menjadi khalifah tetapi meminta agar syarat yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. dipenuhi dan dipatuhi. Saidina Abu Bakar tidak pernah mencalonkan dirinya sendiri sebagai khalifah bahkan mencadangkan Saidina Umar terlebih dahulu tetapi akhirnya beliau yang dilantik.

Begitu juga para Ulamak, tidak ada atas nama individu daripada golongan tersebut meminta agar dilantik diri sendiri menjadi pemimpin tetapi mereka meminta agar syarat mempunyai ilmu agama mesti dipenuhi kerana ia adalah hukum yang ditetapkan oleh para fuqaha'.

Memanglah agak sukar untuk memahami perkara ini kerana apabila ada individu daripada kalangan Ulamak menyebut tentang syarat tersebut seolah-olah dia meminta untuk dirinya dilantik menjadi pemimpin. Hakikatnya ia bukan demikian tetapi dia hanya meminta untuk syarat tersebut dipenuhi, bukan untuk dirinya sendiri.

Ia umpama dalam bidang perubatan. Syarat untuk melakukan pembedahan mesti mempunyai ilmu berkaitan dengannya. Apabila para doktor menyebut tentang syarat tersebut, bukan bermakna doktor yang menyebut tentangnya meminta agar diberikan kepadanya untuk melakukan pembedahan tetapi apa yang diminta agar syarat dipenuhi dan pembedahan dilakukan oleh golongan doktor, bukan orang lain.

Jawatan dalam Islam bukanlah tasyrif tetapi adalah taklifan daripada Allah s.w.t. Oleh kerana itulah seorang pemimpin yang baik ialah mereka yang takut kepada Allah dan orang yang paling takut kepada Allah adalah para Ulamak.

Bimbang dan takut kepada taklifan tidak bermakna para Ulamak mesti mengelak untuk menerima jawatan. Mengelak menerima taklifan akan membawa mudharat dan bencana yang lebih besar kepada umat kerana dipimpin oleh mereka yang tidak mengetahui dan tidak mampu mengeluarkan hukum hakam syarak untuk mentadbir negara.

Dalam masa yang sama, peranan yang dimainkan oleh golongan profesional dan aktivis Islam untuk memberikan sumbangan bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini tidak boleh dinafikan. Mereka mesti berbangga untuk menjadi para 'Ansar' yang membantu para Ulamak untuk memerintah dan mentadbir negara. Para Ulamak tidak pernah berbangga untuk mengangkat diri sendiri menjadi pemimpin tetapi atas dasar memenuhi syarat kepimpinan, mereka memikulnya.

Lihatlah contoh tauladan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dalam isu perlantikan saidina Abu Bakar r.a. sebagai khalifah dan pemerintah selepas Rasulullah s.a.w. Mereka menerima bahawa mereka tidak menepati syarat untuk menjadi khalifah. Golongan Ansar tidak pernah merasai bahawa mereka telah dikesampingkan dan menjadi masyarakat kelas kedua kerana tidak mencukupi syarat. Menjadi pemimpin ada syaratnya dan mereka redha dengan syarat tersebut. Perlu dijelaskan bahawa melantik pemimpin di kalangan Ulamak tidak bermaksud akan lahirnya negara teokrasi yang memerintah atas nama tuhan, tanpa ada ruang untuk rakyat mengemukakan pandangan. Ia juga tidak bermakna akan lahirnya negara Mullah yang hanya ingin menguatkuasakan undang-undang dan menjatuhkan hukuman tanpa diambil kira tahap kesalahan rakyat dan keadaan sekitar atau negara Ayatullah yang memerintah tanpa boleh ditegur.

Bahkan ia adalah negara yang menjadikan Islam sebagai rujukan, negara yang berdiri di atas baiah dan syura. Pandangan dan teguran sentiasa dialu-alukan selagi mana tidak bercanggah dengan Islam. Ia adalah negara yang mempunyai hubungan dengan Allah dan juga manusia serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Sumber: Laman Web Rasmi Dewan Ulama' PAS Pusat

Sabtu, 24 April 2010

LIMA PENAWAR HATI

Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada 5 :
1) Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya
2) Mengosongkan perut
3) Bangun bersolat malam
4) Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur
5) Duduk di majlis orang-orang soleh.


Pertama : Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah bagi saya ramai di kalangan umat Islam yang melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.
Kedua : Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.
Saya pernah melihat kawan-kawan ketika kenduri begitu tamak mengambil makanan sampai penuh pinggan, kemudian akhirnya tidak dapat menghabiskan makanannya. Pertamanya ia tamak, keduanya dia membazir. Kedua-duanya perangai syaitan.
Ketiga : Ramai orang boleh bangun malam. Bangun sebab mau kencing, atau kerana anak menangis, atau kerana mau tonton Euro, atau kerana waktu penerbangan, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau 2 rakaat, memang sangat berat.
Keempat : Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.
Kelima : Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan jiwa. Ia jauh lebih mulia berbanding berada di disko, kedai kopi atau di padang bola.

Anda mahu menjadikan hati tenang dari resah gelisah, 5 perkara ini adalah penawarnya.
Firman Allah : “…ingatlah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”.

sumber: http://abunuha.wordpress.com/2008/07/18/lima-penawar-hati/

Suburkan Hati Budi Dengan Nilai-nilai Murni

Pada asasnya, nilai murni adalah nilai bersifat universal yang memprojekkan kepada adab yang terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka perhubungannya dengan tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung membahaskan domain-domain nilai substantif seperti agama, rohaniah, moral dan estetika yang mencetuskan stimulasi yang positif seperti ketenangan emosi, kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia. Nilai murni juga merangkumi set-set nilai yang terdiri daripada nilai instrumental, nilai mutakhir dan nilai integratif. Berdasarkan kepada penjelasan ini, dapatlah difahami bahawa unsur-unsur alam dan benda yang lain diluar kategori manusia dianggap tidak mempunyai nilai murni.

Umumnya, nilai-nilai murni dari perspektif Islam berfungsi sebagai indikator dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih terfokus kepada harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi. Nilai murni pada pandangan Islam bersifat `alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati nilai-nilai tersebut akan mendapat ganjaran kebaikan, walau bagaimanapun, jika berlaku kontradiksi dengan nilai-nilai tersebut maka pelakunya akan mendapat dosa. Justeru itu, melihat kepada kepentingan tersebut, manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan batin dengan nilai-nilai yang positif. Ini kerana, apabila keperluan rohaniah manusia dari aspek jasad dan ruh tidak disantapkan dengan nilai-nilai luhur ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan yang berkualiti. Meskipun pada zahirnya kelihatan jasad individu itu nampak sihat namun dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah, dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.

Kepentingan Nilai-Nilai Murni Dalam Kerangka Hati Budi Manusia



Kehidupan manusia di atas muka bumi ini bukanlah hanya bertujuan semata-mata untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat, bermasyarakat dan sebagainya. Keperluan yang dinyatakan tersebut hanyalah bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia dari perspektif konsep pandangan hidup muslim lebih tinggi dan murni dari keperluan tersebut.

Insan yang diciptakan Allah dan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi makhluk lain perlu memelihara status kedudukan ini. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan tersebut sehingga darjat manusia sama sahaja dengan status haiwan. Analogi manusia yang bersifat sedemikian digambarkan dalam al-Quran, Allah S.W.T berfiman:

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai.
(al-`Araf:179)

Dalam konteks agama Islam, ruanglingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai-nilai murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu muslim agar kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya. Keperluan kepada nilai tersebut adalah penting kepada setiap insan dalam merangka blue print kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani, spritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan. Elemen-elemen yang dinyatakan ini menjadi asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan yang positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.

Banyak kepincangan yang berlaku dalam institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik, bersifat ananiah (individualistik), terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta nilai-nilai negatif yang lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan yang dikecapi oleh manusia.

Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu seringkali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu. Sebaliknya, individu muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan sahaja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia dalam masa yang sama juga mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah S.W.T.

Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya. Manusia yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syara` sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia. Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani, sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan sahaja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.

Manifestasi ketaqwaan manusia kepada Allah dapat dilihat melalui tanda kesyukuran yang dizahirkan oleh manusia di atas nikmat yang dikecapinya. Setiap nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia atas sifat Rahman dan Rahim tidak dapat dihitung oleh manusia. Allah S.W.T. tidak melihat kekayaan, kemegahan, kehormatan, pangkat dan darjat dimiliki oleh manusia sebaliknya tahap ketaqwaan yang dimiliki oleh seseorang menjadi kayu ukur kepada kejayaan seseorang.

Oleh yang demikian, apabila nilai-nilai murni yang disokong dengan elemen takwa berasimilasi dalam diri inidividu muslim secara tidak langsung ia akan membenihkan tindakan yang terarah kepada kebaikan. Hati, pemikiran dan tingkahlaku manusia yang bersifat sedemikian sentiasa cenderung melaksanakan tuntutan dan amanah sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam dengan penuh berhikmah dan bertanggungjawab. Dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Ada tiga perkara, apabila terdapat dalam diri seseorang maka dia akan merasakan bagaimana manisnya Iman: mencintai Allah dan Rasulnya melebihi daripada yang lain-lain. Benci menjadi kafir kembali, setelah Allah melepaskannya dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


Kesimpulan

Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, namun mengetepikan nilai-nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkahlaku manusia ia akan memberi dampak yang negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu. Justeru itu, nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula yang terbaik untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia tentang hak dan obligasi sosial yang lain.

Masyarakat yang dididik dengan lokus kawalan nilai-nilai murni akan berjaya mencipta budaya masyarakat penyayang dan bertoleransi terhadap kepelbagaian dan perbezaan agama dan budaya. Oleh yang demikian, budaya penyayang dalam institusi masyarakat yang dijalin dengan nilai insaniah yang murni tidak mungkin menyuburkan nilai-nilai negatif seperti berfikiran jumud, hasad dengki, bersifat cauvinis, individualistik, materialistik dan sebagainya. Penyatuan di antara kelompok etnik yang berlainan seperti yang berlaku di antara kaum Ansar dan Muhajirin menjalinkan ukhuwwah al-Islamiyyah dan mengukuhkan lagi jaringan interaksi sosial menjadi bukti kepada konsep persaudaraan yang dislogankan oleh Islam.

sumber: http://riquelme-penawarhati.blogspot.com/

Jumaat, 27 November 2009

Cahaya Hati



CAHAYA HATI

Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau selalu terjaga yang memberi segala

Reff:
Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi

Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala

Back to Reff:

Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu

Back to Reff:

Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi
Yaa Allah

Terangkan Hati




'Nawwir Qulubana Ya Allah..
Ka Qalbi Rasulika Ya Allah...

Terangkan hati kami Ya Allah..
Seperti hati Rasul-Mu Ya Allah..."